Pasca PAU2022, UMNO Wadah Rakyat Siap Siaga Depani Cabaran Politik Baharu – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas berpandangan pasca-Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meletakkan UMNO sebagai wadah baharu dalam usaha maju ke hadapan bagi menempuh cabaran politik yang dinamik.

Katanya, perjalanan PAU2022 telah terlaksana dengan lancar mengikut acuan, prosedur dan peruntukan di bawah Perlembagaan parti.

“Ahli UMNO perlu faham bahawa sebagai parti politik yang berpegang teguh dengan amalan demokrasi maka parti perlu maju ke hadapan serta bersiap sedia untuk menempuh segala laluan politik baharu yang lebih mencabar dan ketidaktentuan.

“Gerakan ‘The New UMNO’ yang lebih segar dan penuh kepelbagaian gerak kerja telah dilaksana sejak tahun 2013 lagi, namun jangan ditinggalkan secara total tradisi UMNO dalam mengerakkan sokongan parti.

“Jangan sampai menampar air pada dulang nanti ia akan terpercik balik kepada kita tetapi biarlah berhati-hati meleraikan rambut yang tersimpul agar ianya nampak kemas dan menawan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Adzly juga mengharapkan agar semua ahli UMNO dapat mencuba pelbagai kaedah serta memikat hati rakyat agar kembali menyokong dan mengundi parti ini.

“Semua ahli UMNO di peringkat cawangan perlu sentiasa mencuba cara dan kaedah baharu untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“UMNO harus mampu menawarkan gerakan dan perjuangan politik yang baharu mengikut kehendak semasa rakyat sebagai pengundi. Maka UMNO perlu menawarkan wajah masa depan yang mampu memikat majoriti pengundi agar terus menyokong dan mengundi parti ini.”

Seterusnya kata Adzly lagi, golongan cerdik pandai dan profesional dari UMNO juga perlu tampil ke hadapan bagi membantu kerajaan dalam menangani isu-isu semasa terutamanya kos kenaikan harga barang.

“Maka cerdik pandai dan profesional dari UMNO perlu ke hadapan untuk membantu kerajaan dalam isu-isu rakyat terutamanya kos kehidupan rakyat yang semakin meningkat seperti harga barangan makanan asas yang merupakan keluhan rakyat masa kini,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.