Konsep Malaysia Madani Langkah Pacu Pembangunan Negara – TPM Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Konsep ‘Malaysia Madani’ adalah langkah negara melakukan anjakan paradigma bagi memacu pembangunan negara ini seiring dengan negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada pandangannya konsep itu perlu dilakukan bukan secara evolusi, tetapi dengan segera.

“Sebab dalam situasi dunia yang makin berubah dengan pelbagai sistem komunikasi dan teknologi yang cepat bertukar, tentunya kita tidak harus ketinggalan untuk berada di garisan hadapan bagi memacu pembangunan.

“Jadi yang penting bukan hanya pembangunan fizikal, saya sebutkan di banyak tempat bahawa harus ada perimbangan soal rohani dengan dengan soal lahiriah, disebut physical happiness dan spiritual happiness supaya berlaku perimbangan antara duniawi dan ukhrawi,” katanya pada Temu Bual Eksklusif Bernama Radio bertajuk “Jiwa Pejuang, Cerminan Madani” di sini malam tadi.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya langkah yang beliau akan lakukan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam membawa dan menerapkan konsep berkenaan dalam jiwa anak muda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memperkenalkan konsep ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Konsep Madani itu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.