Kembali Teguh Bersatu Padu… Pastikan UMNO Gagah Di Persada Politik – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyeru ahli parti dan akar umbi agar kembali teguh bersatu padu demi memastikan UMNO terus melangkah gagah di persada politik.

Jelasnya, polemik dan kekalutan dalaman parti merupakan situasi yang normal terutamanya ketika proses pembersihan bagi memastikan kelangsungan survival serta pengukuhan kembali UMNO.

“Untuk tempoh terdekat, sudah tentu akan timbulkan polemik dan kekalutan dalaman parti. Itu normal. Pas dan PKR dahulu pun menghadapi masalah yang sama ketika membuat pembersihan.

“Perkara ini memang berat tapi perlu dilakukan parti kepada mereka yang jelas melanggari disiplin parti, tiada siapa yang lebih besar dari parti dalam konteks berorganisasi.

“Namun untuk tempoh jangka panjang, insya-Allah ia memastikan kelangsungan dan pengukuhan kembali UMNO sebagai institusi politik ulung negara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, mesyuarat cawangan yang akan berlangsung tidak lama lagi sudah semestinya akan menjadi platform untuk menyatukan kembali UMNO di peringkat akar umbi.

“Mesyuarat Cawangan akan berlangsung tidak lama lagi. Platform ini kita akan manfaatkan sebagai ruang menyatukan kembali UMNO hingga ke peringkat akar umbi.

“Proses penting ini adalah sedikit kritikal, namun perlu dilaksanakan secara berhemah dan menjelaskan dengan baik hala tuju parti yang baharu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan turut berharap agar semua ahli parti terus bersatu demi masa depan parti terutamanya dalam situasi politik yang semakin mencabar ini.

“Dari kecil kami dididik dengan slogan ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. Islam juga menganjurkan kita untuk bersatu dan melarang pepecahan. Warga UMNO adalah umpama sebuah keluarga besar yang berlatar belakangkan landskap penuh warna-warni.

“Demi masa depan parti, saya menyeru agar akar umbi buang yang keruh dan ambillah yang jernih. InsyaAllah UMNO akan kembali teguh, diyakini anak bangsa. UMNO akan gagah melangkah di persada politik negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.