Perteguh Kembali UMNO, Jangan Biarkan ‘Rumah’ Yang Dibina Ranap – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Presiden Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia, Muhammad Zuhir Ghazali yakin perwajahan baharu yang dibawa oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dapat mengukuhkan lagi parti menjadi lebih teguh.

Jelasnya, setiap ahli parti berhak mempunyai iltizam yang tinggi untuk merawat, memulih dan menstabilkan kembali UMNO.

“Saya yakin dan percaya bahawa perwajahan baharu UMNO yang dibawa oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk menstabilkan ‘rumah pusaka’. Rumah ini tidak boleh dibiarkan ranap dan jatuh menyembah bumi.

“Jika kita insafi sejujurnya, reset UMNO itu sedang digerakkan oleh Presiden walau kadang-kadang ianya tidak popular tapi untuk menaikkan kembali parti di persada dunia.

“Sebagai contoh, sebelum ini UMNO tidak pernah ada jawatan Ketua Penerangan dikalangan bawah usia 40 tahun, UMNO tidak pernah menawarkan hingga 80 peratus calon muka baharu dalam pilihan raya dan banyak lagi reset budaya telah pun dilakukan oleh Presiden,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Katanya lagi, selepas tewas pada Pillihan Raya Umum (PRU) lalu parti ini telah melakukan perubahan secara total dan berlandaskan hala tuju baharu dengan digariskan oleh kepimpinan parti.

“Bahkan semenjak parti ini kalah pada pilihan raya, UMNO sudah ada hala tuju iaitu memperkukuhkan parti secara dalaman dengan kerjasama kekuatan luaran dan ianya perlu dilaksanakan.

“Sudah jelas betapa UMNO sekarang ini berada dalam keadaan ‘menang tak menang semua, kalah tak kalah semua’,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapan dasar ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini, Presiden telah menggariskan lima hala tuju baharu bagi membolehkan UMNO bergerak ke hadapan sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.