Persidangan Cawangan Medan Kelangsungan Perjuangan Dan Perkukuh Kembali UMNO, Teruskan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan mesyuarat dan pemilihan bagi peringkat cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan bermula 1 sehingga 26 Februari ini.

Sehubungan itu Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berharap agar ahli-ahli UMNO akan memanfaatkan persidangan Cawangan ini untuk membincangkan hala tuju pasca Pilihanraya ke 15 dan mengukuhkan perpaduan sesama ahli.

Katanya, cawangan-cawangan UMNO adalah kekuatan utama parti. Akar umbi kuat, UMNO akan kuat. Kita telah melalui episod suka dan duka dalam memerintah negara selama ini. Insiden pemecatan dan penggantungan pemimpin dan ahli parti mungkin akan juga dibincangkan oleh akar umbi pada persidangan kali ini.

“Ahli parti boleh mencadangkan solusi dan menjadikan persidangan cawangan ini ruang terbaik medan percambahan fikiran bagi mengembalikan kekuatan parti, kerana kita akan berhadapan dengan enam Pilihan Raya Negeri lagi selepas ini.

“Kita berharap proses persidangan ini bukan sahaja mesyuarat cawangan, bukan sahaja proses demokrasi dalam parti di peringkat akar umbi iaitu melalui pemilihan tetapi apa yang lebih penting adalah mengenai pengukuhan silaturrahim sesama ahli dengan tekad perkukuh UMNO kembali.

“Apa yang paling penting adalah pengukuhan UMNO di akar umbi kerana parti ini terdiri dari ahli-ahli di cawangan sebagai tunjang dan akar kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO adalah parti yang berorganisasi, mempunyai kesatuan yang didukung dari anggotanya di seluruh pelusuk negara sebagai tunjang kekuatan dan kali ini ia menjadi lebih penting selepas melalui pelbagai cabaran.

“Mesyuarat kali ini cukup penting pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 ditambah lagi dengan pemilihan parti di semua peringkat.”

“Justeru, marilah kita sama-sama bersepakat memperkasakan UMNO dengan mencari titik pertemuan demi kekuatan bukan sebaliknya,” katanya lagi.

Dilaporkan selepas persidangan peringkat Cawangan akan disusuli mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Sebelum itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.