Ketepikan Segala Perbezaan, Mari Kita Kukuhkan UMNO Berdepan Cabaran – Sharkar

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap mesyuarat serta pemilihan parti yang akan bermula Rabu di peringkat cawangan seluruh negara dapat dilaksanakan sebaiknya.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Temerloh, inilah masa dan platform untuk ahli parti di peringkat akar umbi sama-sama gembleng tenaga dalam usaha membantu UMNO mengorak langkah ke depan.

“Saban tahun UMNO yang sentiasa mengadakan persidangan dan mesyuarat di peringkat cawangan serta bahagian menjadi tumpuan malah kadangkala
menjadi topik perbualan masyarakat umum.

“Dalam senario dan perkembangan semasa parti hari ini tentunya masing-masing akan melihat dan membuat penilaian terhadap UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi naungan orang Melayu dan seluruh rakyat yang lain.

“Kita gerak ke depan… tidak perlulah mencari salah antara satu dengan yang lain. Matlamat kita hari ini tentunya untuk kukuhkan parti,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Mesyuarat MKT UMNO memutuskan pemilihan parti itu akan bermula Rabu ini membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan yang berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Sharkar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang seterusnya menambah gunalah proses yang ada ini untuk sebaiknya kerana tanpa akar umbi parti tidak akan ke mana apatah lagi untuk meneroka serta berdepan dengan pelbagai cabaran semasa.

“Akar umbi adalah tunjang kepada segala-galanya…tanpa akar umbi parti tidak mampu untuk bergerak sebaik mungkin dan itulah peranan yang tidak dapat dinafikan.

“Marilah kita sama-sama bertaut dalam satu saf…kepimpinan…muafakat yang sebaiknya kerana tanpa satu nawaitu perjalanan parti akan terganggu. Inilah masanya untuk seluruh ahli parti dan kepimpinan pelbagai peringkat bersatu padu serta mengetepikan segala perbezaan demi UMNO…UMNO sebuah perjuangan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.