Demokrasi, Kebebasan Bersuara UMNO Subur… Laksana Secara Bijaksana – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka dan membenarkan kebebasan bersuara.

Menurut beliau, kebebasan tersebut sudah lama diamalkan parti keramat ini dan telah menjadi subur dalam kalangan ahli.

“UMNO sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka. Kebebasan bersuara memang dibenarkan.

“Malah realitinya ia akan menyuburkan amalan demokrasi dalam parti. UMNO mengamalkannya sejak sekian lama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong bagaimanapun berkata kebebasan bersuara tersebut perlu diimplikasi secara bijaksana dan berdasarkan tanggungjawab kepada parti.

Jelas beliau, tiada makna sekiranya kebebasan yang diberi digunakan ke arah merosakkan parti kerana ianya akan memberikan impak kepada imej UMNO.

“Kita mestilah punyai kebijaksanaan, kebebasan kita bersuara bukan bermakna boleh bercakap apa sahaja hingga melanggar peraturan yang ada dalam parti.

“Tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan ahli ialah menjaga imej parti. Parti mesti sentiasa dilihat baik di mata ahli dan rakyat, kita bertanggungjawab terhadapnya.

“Justeru itu, tiada makna kepada kita jika kebebasan bersuara yang kita amalkan boleh merosakkan parti dan imej parti akhirnya dilihat tidak baik serta rosak dimata rakyat,” ujar beliau.

Shamsul Anuar menambahkan perkara tersebut merupakan eleman penting kerana hayat parti ditentukan oleh rakyat.

“Maka, rugilah parti jika rakyat melihat imej kita terlalu buruk akibat kebebasan bersuara yang diamalkan.

” Hakikatnya tiada orang lain yang akan menjaga imej parti melainkan kita. Kita bertanggungjawab kepada parti kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.