Bertautlah Dalam UMNO, Perkukuh Parti Depani Landskap Politik Masa Depan – Sharifah Azizah

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Ahli-ahli UMNO diseru untuk kembali bertaut dalam usaha mengukuhkan parti setelah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pelbagai kemelut dan perbezaan pendapat yang ada sewajarnya dibincangkan dalam keadaan muafakat dengan usaha menyusun kembali gerak kerja bagi mengharungi cabaran masa hadapan.

“Kita telah melalui pelbagai cabaran dan kini kita akan depani mesyuarat peringkat Cawangan UMNO dan pemilihan parti. Maka, marilah kita jadikan persidangan di akar umbi ini sebagai alternatif terbaik bagi menyerlahkan UMNO sebagai satu kesatuan yang kukuh,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, UMNO bukanlah parti setahun jagung sebaliknya keupayaan organisasi terbabit sebagai parti politik amat penting dalam perjuangan agama, bangsa dan negara.

“UMNO ini parti perjuangan yang tujuan utamanya adalah untuk mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Dalam apa-apa jua keadaan pun UMNO mesti terus relevan kerana inilah satu-satunya parti yang berpaksi daripada sokongan akar umbi, membawa suara anggota parti dari pelbagai peringkat lantas dimanifestasikan kepada pihak atasan dengan UMNO menjadi platform utama.

“Lantaran itu, marilah kita jadikan persidangan Cawangan UMNO sebagai landasan terbaik bagi mengembalikan keupayaan parti meneruskan perjuangan apatah lagi terlalu banyak agenda agama bangsa kita yang mesti terus diangkat.”

Berkaitan dengan pemilihan parti yang turut bakal bermula serentak di seluruh negara, Sharifah Azizah mengajak untuk aplikasikan amalan demokrasi yang sememangnya telah menjadi amalan parti.

“Gunakanlah amalan demokrasi sebaik mungkin dengan niat untuk memperteguh dan memperkukuh parti. Buanglah sifat negatif demi masa hadapan UMNO.

“Marilah kita berlapang dada dengan pelbagai keadaan yang telah berlaku di sekeliling kita sejak kebelakangan ini. Bersamalah kembalikan maruah dan martabat UMNO demi kepentingan parti, agama, bangsa dan tanah air.”

Terdahulu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu telah membuat beberapa ketetapan berkenaan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2023 termasuk melibatkan pemilihan jawatan.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.

Menyusul berikutnya ialah Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan PUteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).

Manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.