Wanita UMNO Kekal Prihatin, Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Johor

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Wanita UMNO Malaysia meneruskan politik khidmat bakti kepada rakyat khususnya golongan yang tidak bernasib baik melibatkan musibah banjir melanda di beberapa negeri baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluangkan masa memantau perkembangan terkini di Yong Peng dan Sri Medan, Johor di samping menyampaikan bantuan kepada mereka sebagai meringankan beban.

“Saya telah turun menyampaikan bantuan di beberapa Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang telah menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Setakat ini enam PPS telah dibuka termasuk di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Medan, Dewan Orang Ramai Sri Medan dan SK Tenaga Setia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada kesemua pihak yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa sepanjang musibah melanda.

“Terima kasih juga diucapkan buat semua pihak yang turut turun bersama meninjau keadaan serta pasukan sukarelawan yang bertugas di setiap PPS,”ujar beliau.

Terdahulu, situasi banjir di negeri ini tidak menunjukkan banyak perubahan apabila masih terdapat 2,757 mangsa daripada 774 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan, jumlah itu sedikit meningkat berbanding seramai 2,564 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.