Banjir: Penilaian Kerosakan Rumah Dilakukan Secara Teliti – Ahmad Zahid

PITAS, 30 Jan – Penilaian kerosakan rumah bagi tujuan memberikan bantuan kepada mangsa banjir akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan keutamaan diberikan kepada rumah yang terjejas teruk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pejabat daerah dalam melaksanakan penelitian terhadap rumah yang rosak akibat dilanda bencana tersebut.

“Selepas penelitian kerosakan secara terperinci dilakukan, kementerian akan mengeluarkan peruntukan untuk membaiki rumah berkenaan. Namun peruntukan kita terhad, dan kita perlu cermat dengan memberikan keutamaan kepada rumah yang terjejas teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan mangsa banjir kepada seramai 968 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pitas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kementeriannya juga sedang menilai kerosakan jalan-jalan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

“Sehubungan itu saya meminta kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Pejabat Daerah dan kerajaan negeri agar usaha ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya” katanya.

Mengulas mengenai lawatan beliau ke Pitas, Ahmad Zahid ia bertujuan meninjau beberapa kawasan di Sabah yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

“Walaupun keadaan semakin pulih atau ramai mangsa yang sudah kembali ke rumah masing-masing. Namun kini, kita berada dalam pascabanjir dimana kita akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan dan pembaikan terhadap rumah-rumah yang terjejas,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.