Khaled Tegaskan Keutamaan Pastikan Perpaduan Dan Kesatuan UMNO Terpelihara

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.

Beliau yang dilantik dalam jawatan terbabit berterima kasih atas kepercayaan daripada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perlantikan saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor datang dengan tanggungjawab yang sangat berat. Saya berterima kasih atas kepercayaan YAB Presiden terhadap saya.

“Saya juga sangat menghargai sumbangan besar YB Datuk Hasni Mohammad terhadap UMNO Johor. Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan insya-Allah.”

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bukan sesekali untuk menguatkan mana-mana kelompok dan kumpulan, tetapi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO.

“Adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya. Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan insyallah akan ada hikmah terpenting dari segalanya itu.

“Saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti. Insya-Allah, saya tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa jua. Semua bagi saya, adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor yang akan dirai dan dihargai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.