UMNO Terbuka Kerjasama Dengan PH Di Kedah – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 28 Jan – UMNO Kedah terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan selaras dengan demografi dan landskap politik hari ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata seiring dengan perkara tersebut perlu ada gabungan strategik, serta setiap parti perlu terbuka mengakui kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Tidak dinafikan kekuatan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini berada didalam keadaan yang terbaik, namun keterbukaan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam pembahagian kerusi akan dapat mengubah suasana dan dijangka mampu memberikan tentangan dibeberapa kawasan.

“UMNO terbuka dan berada dalam keadaan yang terbaik untuk berbincang demi mematahkan ego dan kesombongan Menteri Besar. Tidak timbul juga isu ‘abang besar’ kerana UMNO selama ini tidak mempunyai perwatakan sedemikian,” katanya sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik laporan, Mahfuz dilaporkan berkata parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk PH dan BN tidak boleh bersikap umpama ‘abang besar’ atau mahu lebih dominan dalam menentukan formula agihan kerusi sekiranya gabungan itu bekerjasama dalam PRN yang akan diadakan tahun ini.

Kata beliau lagi gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan harus menerima hakikat dan bersikap terbuka sekiranya masing-masing terpaksa mengecilkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum-sebelum ini.

Shaiful seterusnya menambah pihaknya percaya perbincangan peringkat atasan parti akan dilakukan menjelang PRN nanti kerana matlamat kita sama iaitu menamatkan kerajaan PN di Kedah yang hanya gah dengan “pengumuman mega” tapi hasil kepada rakyat tidak setara mana.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.