Tidak Perlu Laksana Darurat Bencana, Banjir Cuma Libatkan Beberapa Negeri Sahaja – Ahmad Zahid

MERSING, 28 Jan – Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan darurat bencana kerana kejadian banjir ketika ini hanya melibatkan beberapa negeri dan daerah tertentu sahaja, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sudahpun melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi membantu kawasan terlibat ketika ini.Bercakap dalam persidangan media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Mersing, di sini hari ini, beliau berkata tindakan telah diambil bagi menyalurkan pelbagai bantuan kepada ketua isi rumah yang terlibat di kawasan yang dilanda bencana, termasuk bantuan pasca banjir.

Katanya kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa menggembleng tenaga dan meningkatkan pengurusan serta usaha bagi membantu semua mangsa yang terlibat.

Turut sama hadir di sidang media itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan telah meluluskan serta-merta pelan jangka pendek pengurusan banjir di Mersing berjumlah RM10.5 juta bagi pembinaan tiga pam air dan rumah pam.

“Mersing amat memerlukan rumah pam sebagai langkah mencegah banjir jangka pendek. Oleh itu, saya luluskan serta-merta peruntukan RM10.5 juta bagi projek berkenaan, setiap satunya bernilai RM3.5 juta. Ia akan disalurkan menerusi peruntukan sedia ada daripada Nadma.

“Saya akan koordinasikan perkara ini dengan Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pegawai Daerah Mersing dan Jurutera Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta lain-lain agensi pelaksana,” katanya, dan menambah kerajaan negeri telah memaklumkan bahawa Mersing memerlukan RM2.3 bilion bagi mengatasi masalah banjir menerusi pelan jangka panjang.

“Bagaimanapun, mereka (buat masa ini hanya) memohon peruntukan sekurang-sekurangnya RM50 juta untuk disalurkan kepada kerajaan negeri dan daerah melalui JPS, bagi pelan jangka sederhana untuk membina tebatan banjir di kawasan-kawasan rendah di daerah ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing, dan mendengar taklimat situasi banjir di daerah itu, termasuk pelan mitigasi seperti rancangan tebatan banjir di lembangan Sungai Mersing dan Sungai Tenglu Besar yang disampaikan oleh jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Md Shahril Md Shamsudin.

Setakat ini hanya tiga negeri dilanda banjir dengan jumlah mangsa tertinggi dicatatkan di Sabah, dengan jumlahnya melebihi 2,500 diikuti Johor dan Pahang.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.