Pertahankan Islam, Tolak Ekstremisme Sempit – Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar Kitab Suci Al-Quran oleh Rasmus Paludan seorang ahli politik Denmark-Sweden di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm baru-baru ini.

Setiausaha Pemudanya, Datuk Hasmuni Hassan dalam satu kenyataan berkata tindakan berkenaan adalah amat biadap lagi menjelekkan.

“Saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan keji yang sungguh nyata lagi bersuluh berniat untuk menghina lebih 1.9 billion umat Islam di seluruh dunia ini.

“Rasmus Paludan adalah seorang politikus mentah yang berfikiran sempit dan telah menyalahgunakan posisi beliau demi menegakkan pemikiran ekstrimisme kanan serta agenda politik peribadi yang sempit,” katanya.

Kata beliau lagi, pihaknya menyeru Kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan serius ke atas Rasmus Paludan serta tidak melindungi beliau disebalik hak kebebasan bersuara.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja akan mengeruhkan keadaan semasa di banyak negara Islam di seluruh dunia malah akan membantutkan usaha baik mengalakkan dialog keamanan global demi keharmonian sejagat,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.