Usah Meraih Laba Politik Dengan Menyulam Kebencian Terhadap Umat Islam – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia mengecam tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Palu ekoran membakar al-Quran dengan niat politik serta menagih perhatian.

Presidennya, Muhammad Zuhir Ghazali berkata tindakan itu sewajarnya dikutuk dan dikecam bukan saja oleh negara umat Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta yang inginkan keamanan dan keharmonian.

“Tindakan itu juga telah melukai dan menodai toleransi umat beragama. Hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat harus dilakukan secara berhemah dan bijaksana.

“Tindakan membakar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh beliau tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa ibarat merelakan Islamofobia tersebar ke seluruh masyarakat.

“Pihak bertanggungjawab perlu berasa malu dengan tindakan mereka yang berat sebelah dan tidak menghormati toleransi beragama. Segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan adalah dikeji dan perlu dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di hadapan kedutaan Sweden, hari ini, di sini.

Katanya, naratif yang dibawa oleh Paludan hanyalah untuk memacu kerjaya politiknya dan sikapnya yang benci pada Islam.

“Tindakan ini bukanlah kali pertama dilakukan olehnya dan beliau juga adalah tokoh politik Sweden dikenali dengan sikapnya yang anti-Islam.

“Tindakan ini hanya mengambil kesempatan atas dasar terbuka dan kebebasan bersuara untuk menyebarkan ekstremisme dan perkauman,” bidasnya lagi.

Terdahulu, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran.

Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.