Lebuhraya LTU/CSR: Pemimpin UMNO Utamakan Keselesaan Rakyat Demi Kesejahteraan
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Untuk memastikan keselesaan pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung halaman khususnya di Pantai Timur, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sentiasa mengikuti perkembangan pembinaan Lebuhraya Tanpa Tol Lingkaran Tengah (LTU) atau Central Spine Road (CSR).
Jelasnya, lebuhraya sepanjang 365 kilometer itu boleh menyingkatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan sehingga tiga jam sahaja dan menelan kos sebanyak RM10 bilion.
“Tiap kali tiba musim perayaan, saya lihat ada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur, kadang-kadang ambil masa sehingga 20 jam. Sehinggakan ada kenalan yang pernah berhenti rehat di rumah saya. Namun ada juga yang bersama anak kecil, orang tua, dan ada yang terpaksa berhenti serta tidur di tepi jalan.
“Perjalanan pulang ke kampung halaman sepatutnya memberi kenangan indah buat anak-anak. Sebab itu, saya sangat ambil berat dan sentiasa mengikuti perkembangan Lebuhraya Tanpa Tol Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau CSR (Kuala Lumpur- Kelantan) sepanjang 365 kilometer yang boleh menyingkatkan perjalanan Kuala Lumpur- Kelantan sehingga tiga jam sahaja melibatkan kos sebanyak RM10 billion,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau telah melakukan lawatan bagi melihat sendiri perkembangan pembinaan projek tersebut agar siap dalam jangka masa yang dirancang.
“Hari ini saya melawat sendiri perkembangan projek Lebuhraya LTU Seksyen 3J melibatkan lebuhraya yang menghubungkan Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong supaya projek ini siap seperti dirancang.
“Seksyen 3J ini melibatkan skop kerja pembinaan jalan berkembar empat lorong dua hala, sepanjang 6.95 kilometer melibatkan pembinaan lima buah jambatan, dua buah Vehicular Box Culvert (VBC). Seksyen ini memakan kos sebanyak RM 257 juta telah mula dibina pada 29 Jun 2020 dan dijangka siap pada 24 Julai 2024,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut berharap agar pembinaan LTU ini dapat memberi manfaat terutamanya kepada para pengguna dan merancakkan pembangunan ekonomi sepanjang laluan lebuhraya tersebut.
“Pembinaan LTU Lebuhraya Tanpa Tol ini saya harap dapat beri banyak manfaat terutamanya kepada pengguna lebuh raya ke pantai timur.
“Manfaat ini dah tentu akan turut dirasai oleh penduduk kampung, pengusaha, dan semua pemain industri berkaitan memandangkan pembinaan lebuh raya ini akan memberi impak limpahan ekonomi melibatkan homestay, stesen minyak, restoran dan sebagainya di sepanjang laluan lebuhraya LTU,” katanya lagi. – UMNO Online