Ketepi Perintah Waris Kesultanan Sulu, Tahniah Pasukan Peguam Pertahan Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pasukan peguam yang dibentuk oleh Jabatan Peguam Negara di atas kejayaan awal Malaysia dalam mengetepikan Perintah Penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik negara yang difailkan oleh waris kesultanan Sulu di mahkamah Luxembourg bersabit tuntutan mereka berjumlah $14.92 billion.

Menurut beliau kejayaan awal ini memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat baru kepada rakyat Sabah untuk mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dicabuli oleh anasir luar.

“UMNO Sabah sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes-kes litigasi membabitkan tuntutan waris kesultanan Sulu di beberapa buah negara di Eropah seperti Luxembourg, Sepanyol dan Perancis terhadap kedaulatan wilayah Sabah.

“Adalah menjadi pendirian tegas UMNO Sabah bahawa Sabah adalah sebuah wilayah merdeka serta berdaulat dan telah memilih untuk bersama-sama Sarawak dan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia. Apa jua usaha dan cubaan untuk mencabar kedaulatan negara akan ditentang habis-habisan.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, kekebalan kedaulatan Malaysia diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Sebarang bentuk tuntutan dan penguatkuasaan penghakiman terhadap Malaysia adalah melanggar prinsip dan doktrin antarabangsa mengenai kekebalan sesebuah negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas Bung, ini termasuklah penganugerahan timbang tara oleh penimbang tara, Dr Gondoza Stampa terhadap tuntutan waris kesultanan Sulu berjumlah hampir $15 billion adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang.

Katanya lagi, meskipun kejayaan awal Malaysia mengenepikan Perintah Penahanan ini bersifat relief interim dan belum sepenuhnya menamatkan tuntutan waris kesultanan Sulu di Luxembourg, Sepanyol dan Perancis, namun kejayaan awal ini diharapkan menjadi pencetus dan dorongan kepada mahkamah di Sepanyol dan Perancis untuk menolak tuntutan waris kesultanan Sulu.

“UMNO Sabah menggesa Kerajaan Negeri Sabah mengeluarkan kenyataan umum dan mengambil ketetapan yang sama dengan segera sebagai tanda keseriusan dan solidariti bersama rakyat Sabah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.