Wanita UMNO Malaysia Terus Prihatin, Ziarah Kasih Ke Kedah

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Wanita UMNO Malaysia meneruskan keprihatinan apabila melakukan ziarah kasih ke Kedah dengan mengunjungi beberapa kepimpinan Wanita bahagian.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melalui hantaran di Facebook memaklumkan kunjungan ke Merbok, Pokok Sena dan Jerai.

“Saya dan sahabat-sahabat Wanita Malaysia berkesempatan menziarahi Ketua Wanita UMNO Bahagian Merbok, Hapsoh Ahmad yang telah kehilangan suaminya baru-baru ini.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pastinya kehilangan insan yang disayangi yang telah hidup bersama selama 44 tahun akan dirasai oleh Kak Hapsoh dan anak-anak.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan menerima amal ibadah Allahyarham. Semoga keluarga Kak Hapsoh terus diberikan kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau turut tersentuh hati dengan ujian menimpa Ketua Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena, Mia Munah Miamunah Darus malah mendoakan diberikan kesabaran dalam berhadapan dengan ujian apabila suaminya berhadapan dengan angin ahmar.

“Berkesempatan menziarahi suami kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena, Mia Munah Miamunah Darus yang diserang penyakit angin ahmar. Sama-sama kita doakan agar beliau kembali sembuh,” ujar beliau.

Turut bersama beliau ialah Ketua Wanita Negeri Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim serta Naib Ketua Wanita Negeri Hisyam Suhaili dan beberapa Ketua-Ketua Wanita Bahagian Negeri Kedah.

Dalam pada itu Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong pada hantaran berbeza memaklumkan turut menyantuni mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai, Khalijah Arshad di Yan.

“Sebelum pulang, saya dan rombongan Wanita Malaysia juga berkesempatan singgah menyantuni mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai, Khalijah Arshad yang mesra dipanggil Kak Chik di Kampung Singkir Darat.

“Masih bersemangat Kak Chik bercerita tentang UMNO dan perjuangan. Semoga Kak Chik dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT ,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.