Landskap Politik Semasa Bawa Manifestasi Tersendiri, UMNO Teruskan Perjuangan Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berpandangan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membawa manifestasi tersendiri kepada kepimpinan serta ahli parti yang wajar bermuhasabah di samping meneruskan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau malah meluahkan kesyukuran dan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memainkan peranan terbaik dalam membawa parti keramat ini bangkit di kala pelbagai kemelut politik yang berlaku.

“Ini menunjukkan kita sebagai orang Islam, Allah minta untuk kita kembali bersatu, bersetia, berkhidmat dengan kembali jalan-Nya dan sesama manusia.

“Dengan izin Allah juga Presiden yang berjiwa besar, tanggungjawab memimpin kami akhirnya ketika ini kita menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan.

“…telah terbukti dengan kebijaksanaan Presiden sekali lagi telah melakarkan sejarah kerana sebelum ini ada orang kata UMNO/BN telah ditalkinkan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata sokongan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan hari ini perlu difahami sebaiknya kerana ianya menjunjung titah daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana tiada parti yang memperoleh majoriti mudah untuk menjadi membentuk kerajaan pada PRU15.

“Kita sebagai ahli parti khususnya UMNO/BN patuh kepada YDPA yang mana titah untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalau diikutkan sekiranya PH dan Perikatan Nasional (PN) bergabung pun sudah memperoleh dua pertiga majoriti.

“Maka demi rakyat UMNO terima bekerjasama dengan PH bukannya seperti digembar-gemburkan oleh PN mengatakan kononnya kita hendak bersama Dap, tidak sama sekali kerana apa yang kita buat hanya untuk menjaga rakyat.

“UMNO telah sekali lagi membuktikan daripada dahulu sehingga kini bila sebut hal rakyat, kitalah perjuang sebenar demi rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.