Jangan Tegakkan Benang Yang Basah, Rasuah Tetap Rasuah – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mengingatkan semua pihak untuk tidak menegakkan benang basah dalam isu merasuah pengundi pada musim pilihan raya oleh Perikatan Nasional (PN) yang dianggap sebagai sedekah.

Katanya, sekiranya Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempunyai bukti kukuh bahawa PN tidak merasuah pengundi maka beliau diminta tampil untuk menjelaskannya kepada rakyat.

“Semalam Raja Petra membuat video mempertahankan ‘sedekah’ PN. Dia juga ulas berkenaan saranan saya supaya Hamzah Zainuddin menunjukkan bukti kukuh bahawa PN tidak rasuah pengundi. Katanya lagi, sepatutnya orang yang menuduhlah menunjukkan bukti, bukan orang yang dituduh. Saya faham undang-undang, perkara ini dalam kebanyakan kes adalah betul. Namun ia tidak setiap masa betul.

“Bezanya kali ini, sehari sebelum saya mengutarakan saranan di atas, Hamzah Zainuddin yang membuat kenyataan media bahawa kononnya dia ada bukti kukuh bahawa PN tidak beri rasuah kepada pengundi walaupun banyak video tular dan laporan polis telah dibuat menunjukkan sebaliknya.

“Oleh itu, jika dia (Hamzah) sudah ada bukti kukuh seperti yang dinyatakan, maka tunjukkanlah kepada rakyat, dan tidak perlulah rakyat tertunggu-tunggu untuk menutup isu ini atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersusah-susah dan berhabis sumber untuk mencari bukti sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Isham, sehingga ke hari ini Hamzah masih belum mengemukakan sebarang bukti yang membawa kepada kemungkinan beliau tidak bercakap benar.

“Saya ingin cadang kepada Raja Petra supaya baca habis dulu sesuatu perkara sebelum menyerang dengan maklumat sekerat-sekerat. Apabila Hamzah sukarela beri kenyataan bahawa dia kononnya ada bukti ini, maka dia perlu mengemukakannya sebagaimana kes alibi di atas untuk menjimatkan sumber awam yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk mencari bukti sejajar dengan dasar awam supaya rakyat boleh tutup isu ini dan fokus kepada masalah lain.

“Namun tidak, sehingga hari ini Hamzah tidak pun kemukakan bukti yang dia kata kononnya dia ada tersebut. Besar kemungkinan Hamzah tidak bercakap benar ataupun kepercayaannya bahawa dia ada bukti kukuh itu sebenarnya ke laut.

“Sekali lagi saya ingin sarankan kepada Hamzah Zainuddin supaya kemukakan bukti yang kamu kata kamu ada tersebut supaya kes ini boleh segera disudahkan,” katanya lagi.

Terdahulu, SPRM memaklumkan sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sementara itu berkata pemimpin Pas boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.