Jangan Kelirukan Rakyat, Malaysia Madani Tahu Maksud Rasuah Dan Sedekah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Setiausaha Agung UMNO yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata rakyat pada masa kini bijak dalam menentukan nilai sesuatu perbuatan.

Jelas beliau ini termasuk membabitkan pemberian wang ketika musim pilihan raya oleh parti-parti tertentu.

“Malaysia Madani tentu akan memastikan maksud rasuah dan sedekah tidak akan kelirukan rakyat.

“Pemberian wang kepada pengundi ketika kempen pilihan raya oleh calon atau wakil calon atau pimpinan parti yang berkaitan apatah lagi jika ada sumpah agar undi parti itu, tentulah suatu rasuah,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memaklumkan sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki sementara itu berkata pemimpin PAS boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi. – UMNO Online