‘Sedekah’ Semasa Pilihan Raya: Mohd Puad Gesa SPRM Dan SPR Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berharap agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan ke atas Pas yang dijangka akan memberi ‘sedekah’ kepada para pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Ini kerana katanya, disebabkan masih belum ada sebarang tindakan diambil ke atas parti itu, sudah tentu ‘sedekah’ tersebut akan digandakan semasa PRN nanti.

“Oleh kerana belum ada tindakan terhadap ‘sedekah’ Pas, sudah tentu Pas akan melipat-gandakan sedekah di PRN enam negeri akan datang.

“Apatah lagu Pas masih banyak duit untuk disedekahkan. Menurut pemimpin Pas, aktiviti mengedar tin milo sudah lama dibuat. Ia bantu Pas kumpul duit mungkin berbilion ringgit untuk disedekahkan.

“Oleh kerana SPRM sudah kata sedekah waktu pilihan raya adalah rasuah, maka diharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM bertindak keras terhadap aktiviti sedekah Pas semasa PRN nanti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU ke-15.

Polemik memancing undi menggunakan wang disifatkan sebagai sedekah tercetus apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, ia bukan amalan rasuah, sebaliknya pemberian ‘sedekah’ itu adalah hak orang awam untuk memberikannya kepada pengundi parti itu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk mentafsirkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan maksud pembelian undi.

Katanya, SPRM menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang bukan mengikut kepada tafsiran peribadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.