Sedekah Atau Rasuah … Kerajaan Wajib Bertegas Banteras Pihak Tak Bertanggungjawab – Norliza

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kerajaan Malaysia Madani wajib bertegas dalam membanteras pihak tidak bertanggung jawab mendoktrinasi ‘sedekah’ ke dalam pemikiran anak-anak muda ini.

Tegasnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), perlakuan ‘sedekah’ kepada pengundi muda yang dijerat seawal penghantaran menerusi beratus atau ribuan bas membawa mereka pulang mengundi kemudian diikat dengan akad sumpah adalah perlakuan mengajar anak muda ini kepada suatu perbuatan tidak bermoral dan cenderung kepada jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

“Saya percaya, kewibawaan badan berwajib dalam perhatian rakyat terbesar setelah Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani terbentuk. Mereka sedang menilai sejauh mana reformasi demokrasi bawah pimpinan PMX dapat ditunai seperti membanteras rasuah, korupsi, salah guna kuasa yang dilaung-laungkan.

“Bagaimana Kerajaan dapat memastikan badan berwajib bebas melakukan siasatan dan pendakwaan setelah berpuashati dengan siasatan tersebut. Bagaimana pula pendakwaraya bertindak setelah laporan siasatan diserahkan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Terdahulu dilaporkan selepas keputusan PRU15 keluar, beredar di laman-laman sosial klip video seorang berperwatakan Islamik menyerah sejumlah wang kepada sekumpulan anak muda dengan akad lafaz sumpah memberi undi kepada sebuah parti politik yang bertanding.

Susulan peristiwa tersebut, UMNO Trengganu pimpinan Datuk Seri Ahmad Said membuat laporan kepada badan berkuasa untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.
Kata Norliza, ada dua peristiwa yang mengejutkan – pertama, YB Marang merangkap Presiden Pas membuat kenyataan terbuka bahawa ‘sedekah’ sewaktu pilihan raya bukan satu kesalahan.

“Kedua, YB Larut merangkap Setiausaha PPBM turut membuat kenyataan terbuka bahawa apa pun ‘pemberian’ bergantung kepada ‘niat,’ seolah-olah menyokong kenyataan Presiden Pas. Itu sudah dijangka, kerana mereka adalah parti-parti dalam koalisi Perikatan Nasional, peha kanan dicubit peha kiri turut terasa.

“Siapa sebenarnya mahu Pas dan PPBM kaburi – Ahmad Said, badan berwajib atau rakyat? Siapa pun yang mahu mereka kaburi ada satu fakta tidak boleh disangkal; mereka merendahkan kebijaksanaan serta intelektual Ahmad Said mewakili UMNO, badan berwajib mahupun rakyat terbesar di luar sana.”

Bidas Norliza, perlu diingat, anak muda pewaris masa hadapan Negara, rosak pemikiran anak muda maka rosaklah masa hadapan Negara kita.

“Wanita sebagai Ibu tidak sama sekali sanggup membiarkan gejala merosakkan minda anak muda seterusnya masa hadapan Negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.