Radzi Jidin Dibidas, Gagal Bantu Rakyat Dengan Alasan Bukan Kerajaan Pusat

PUTRAJAYA, 25 Jan – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya membidas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin yang dianggap gagal membantu masyarakat setempat dengan memberikan alasan tidak boleh diterima akal.

Katanya, pelbagai rungutan dan aduan telah beliau terima daripada penduduk ekoran kegagalan ahli Parlimen baharu yang tidak membantu masyarakat sebaliknya memberikan alasan tidak dapat menyalurkan bantuan kerana mereka bukan kerajaan pusat.

“Sebagai ahli Parlimen tentulah tanggungjawab membantu rakyat setempat berada dalam perhatiannya tanpa melihat kepada siapa kerajaan pusat pun kerana hal tersebut dah dilaksana oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika beliau menjadi wakil rakyat pembangkang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini pada penggal lalu.

“Waktu itu Datuk Seri Tengku Adnan tetap memberikan bantuan waima beliau sendiri ditekan dengan pelbagai cara termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah pun Datuk Seri Tengku Adnan masih juga salurkan bantuan yang membuktikan bahawa tak jadi kerajaan pusat hanyalah alasan yang diberikan,” katanya.

Maklum Mohd Hisamudin yang juga Senator Dewan Negara, ketika Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang, wakil rakyatnya tetap meneruskan khidmat bakti khususnya apabila pandemik COVID-19 melanda negara ketika pentadbiran PN.

“Keutamaan BN adalah rakyat dan Datuk Seri Tengku Adnan telah mengerah jentera parti sendiri bekerja dan menyampaikan sumbangan hingga ke depan pintu rumah malah mana-mana pihak yang susah segera dibantu.

“Hal ini amat berbeza dengan wakil rakyat Putrajaya hari ini yang mewakili PN ekoran gagal meletakkan keutamaan rakyat sebagai fokus utama malah pelbagai perkara yang dilakukannya hari ini adalah lanjutan daripada usaha Datuk Seri Tengku Adnan selaku pemimpin terdahulu,” katanya.

Antara perkara yang telah diperjuangkan Tengku Adnan sebelum ini namun kemudiannya telah diangkat Radzi hari ini antaranya ialah perkhidmatan bas Nadi Putra Putrajaya, pembaikan infrastruktur dan jalan-jalan awam di Putrajaya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.