Kebebasan Bersuara Dan Hak Asasi Manusia Bukan Alasan Pelampau Bakar Al-Quran – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kekesalan dengan tindakan Kerajaan Sweden yang membenarkan seorang ahli politik pelampau kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockholm baru-baru ini.

Katanya, tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.

“Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata atas rasa tanggungjawab ekoran insiden itu, Sweden perlu melakukan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam secara terbuka.

“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial.

“Kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi,” ujar beliau.

Terdahulu, pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan kurang ajar pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.