Ahli UMNO Perlu Terus Kuatkan Parti… Hadapi Enam PRN

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ahli-ahli UMNO perlu meneruskan usaha untuk menguatkan semula parti di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi dan memberi peluang sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan melaksanakan dasar-dasar baharu demi kesejahteraan rakyat.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, ahli-ahli UMNO kini boleh berlapang dada dan menerima hakikat kerana kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan ini membolehkan parti meneruskan agenda membantu rakyat.

“Ahli-ahli UMNO kini boleh berlapang dada dan menerima hakikat bahawa UMNO telah ditakdirkan berada dalam Kerajaan Perpaduan setelah pelbagai usaha dilakukan oleh pucuk pimpinan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk menjamin survival parti.

“Kedudukan UMNO ini datang dengan hikmah besar apabila parti masih mampu meneruskan agenda membantu rakyat walaupun telah kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah legitimasi sistem demokrasi yang utuh dan dikawal selia oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut lunas-lunas perlembagaan.

“Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disokong oleh parti-parti induk iaitu Barisan Nasional (BN) dan GPS adalah sebuah legitimasi sistem demokrasi yang utuh dan telus. Proses penubuhan Kerajaan Perpaduan ini telah melalui langkah-langkah yang dikawal-selia sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut lunas-lunas perlembagaan.

“Keabsahan kedudukan Perdana Menteri yang dibuktikan melalui usul percaya di Parlimen tempoh hari juga memberi titik noktah kepada segala pertikaian dan persoalan yang masih cuba dimainkan, termasuk usaha oleh segelintir pihak yang mahu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan ini.

“Bahkan dikhuatiri sekiranya berlaku perubahan pucuk pimpinan UMNO sedia ada, akan membawa risiko ketidakstabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan turut berpendapat bahawa keputusan sebahagian besar majoriti perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini yang menyokong usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah manifestasi kesedaran terhadap keperluan mengekalkan pucuk pimpinan demi kestabilan politik.

“Keputusan sebahagian besar majoriti perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, menyokong usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah sebuah manifestasi kesedaran ahli-ahli UMNO terhadap keperluan mengekalkan pucuk pimpinan sedia ada, demi kestabilan politik negara.

“Justeru, ahli-ahli UMNO perlu meneruskan usaha-usaha memperkuatkan semula parti di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menghadapi enam PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Ahli-ahli UMNO juga perlu memberi peluang sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan dasar-dasar baharu dan program-program pemulihan ekonomi demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online