Pembakaran Al-Quran Di Sweden Tindakan Melampau – Majlis Ulama UMNO

KIALA  LUMPUR, 24 Jan – Majlis Ulama UMNO  mengecam sekeras-kerasnya perlakuan ekstrem bersifat Islamfobik oleh Rasmus Paludan, ahli politik Sweden-Denmark yang membakar senaskhah al-Quran al-Karim di Stockholm, Sweden pada 21 Januari  lalu.

Pengerusinya Datuk Dusuki Ahmad berkata ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam dan  merobek perasaan umat Islam di seluruh dunia hari ini.

Tegas beliau penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia mencetuskan pertembungan sesama manusia, malah ia juga jelas bertentangan dengan etika kemasyarakatan yang menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan agama anutan mereka.

“Kita juga ingin menegaskan bahawa tindakan melampau ini sudah tentu menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat. Malah ia boleh mencetuskan tindakan provokasi dan tindak balas termasuk keganasan.

“‘Majlis Ulama UMNO juga menuntut agar Kerajaan Sweden memohon maaf kepada seluruh umat Islam dunia dan masyarakat antarabangsa atas kegagalan membendung kejadian jelek ini berlaku di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu tambah Datuk Dusuki lagi, Majlis Ulama UMNO menyeru para ulama dan umat Islam supaya terus mendoakan agar kebenaran Islam akan terus terserlah di seluruh dunia dan memberikan keselamatan kepada penganutnya di mana sahaja mereka berada.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.