Sogok Pengundi, UMNO Terengganu Diminta Lapor Pada SPR, SPRM

PONTIAN, 23 Jan – UMNO Terengganu diminta membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian wang kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun lepas.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia perlu dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu.

“Saya difahamkan khabarnya ketika kempen (ada) pihak-pihak memberi RM150 untuk belia, RM300 untuk mahasiswi dan RM600 bagi golongan orang kurang upaya (OKU) serta pesara dan pemberian berkenaan dipercayai dibuat beberapa hari sebelum pengundian.

“Saya harap jangan buat sesuatu yang menyebabkan umat Islam keliru… disebabkan isu-isu begini, berubah-ubah fatwa. Jika mereka beri (dianggap) sedekah, jika kita (beri) rasuah… pada saya, ini melanggar garis panduan SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berkunjung ke rumah pemimpin MCA Bahagian Pontian Datuk Ng Sea Bu sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pulai Sebatang di sini Ahad.

Pada 3 Jan lepas, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang dimenangi PAS.

Jumaat lepas, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada orang awam.

Hari ini, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh bagi menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada PRU15.– BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.