UMNO Perlu Pelan Strategik Tarik Golongan Muda – Nazrin Faiz

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Apabila tiba masanya, rakyat akan melihat mengapa UMNO masih berada dan menjadi parti keramat untuk orang Melayu terutamanya.

Pengarah Komunikasi Strategik Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Nazrin Faiz berkata, UMNO sememangnya secara konsisten terus membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan apa jua fahaman.

“Saya masih yakin, when time goes by rakyat akan melihat mengapa UMNO itu masih berada dan masih lagi menjadi parti keramat untuk orang Melayu terutamanya kerana kita memang secara konsisten sehingga membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan apa jua fahaman sehingga ke hari ini.

“Tetapi bagi saya, untuk bergerak ke hadapan kita perlu ada satu pelan yang strategik bagi memastikan UMNO mesra anak muda. UMNO itu perlu juga digarapkan dengan pelbagai program yang lebih baharu,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO perlu fokus untuk memberikan peluang kepada anak muda memegang peranan yang lebih signifikan bersesuaian dengan politik alaf baharu.

“Saya melihat bahawa orang muda dalam UMNO perlu diberikan peranan yang lebih signifikan terutamanya apabila situasi politik alaf baharu. Dilihat pula kepada gerak kerja, tentu sahaja kita tidak mahu hanya tampak hebat di peringkat cawangan tetapi kita perlu juga nampak ideal di mata rakyat.

“Kita juga turut melihat bahawa anak muda yang turun mengundi pada kali ini sememangnya tidak menyokong UMNO/Barisan Nasional (BN). Jadi, kajian dengan apa jua cara untuk kita ‘bedah siasat’ perkara tersebut mestilah menjadi tindakan paling utama para pimpinan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO perlu membuatkan anak muda nampak keberadaan parti itu dan menguasai perang sosial media.

“Menuju ke PRN yang bakal berlangsung paling lewat pada bulan Julai 2023, anak muda perlu dilihatkan bahawa keberadaan UMNO itu bukan setakat ‘ada-ada’ sahaja.

“UMNO perlu memenangi perang media sosial kerana kita tahu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sangat berkait rapat dengan aplikasi TikTok,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar UMNO terus bangkit dengan memperkemaskan gerak kerja di dalam dan luar parti supaya tidak ditolak oleh rakyat lagi.

“Ini adalah antara perkara yang anak muda harapkan kepada UMNO kerana pada akhirnya kita mahu UMNO kembali bersama-sama bukan sahaja menjadi kerajaan, bahkan memperkemaskan gerak kerja di dalam dan luar parti dapat menyentuh denyut nadi rakyat.

“Semestinya sebagai sebuah parti yang senior dalam arena politik ini juga perlu meneruskan proses rejuvenasi UMNO. UMNO bangkit dan mesti berjaya berubah agar tidak ditolak lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.