Skandal Nadir Bumi Sik: UMNO Kedah Serah Memorandum Kepada SPRM

KUALA LUMPUR,  18 Jan – UMNO Kedah menyerahkan memorandum khas kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) negeri itu agar mendedahkan hasil siasatan kecurian hasil unsur nadir bumi (REE) di Sik Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan kepada UMNO Online memaklumkan hal berkenaan sangat serius dan memerlukan perhatian sebaik mungkin.

“Saya mewakili seluruh warga UMNO Negeri Kedah ingin menzahirkan kebimbangan dan kegusaran kami tentang perkembangan siasatan pihak berkuasa yang melakukan terhadap skandal kecurian unsur nadir bumi bukan radioaktif ataupun ‘non-radioactive rare earth element’ (NR-REE) di negeri Kedah.

“Hasil dapatan kami dari laporan media, kami berpendirian bahawa hukuman kompaun kepada hanya seorang individu berjumlah RM130,000 adalah tidak munasabah, tidak memadai berbanding fakta jenayah dan saiz sebenar operasi kegiatan sendikit perlombongan haram REE di Sik, Kedah.

“Pendirian in adalah berasaskan maklumat keterangan daripada penduduk kampung berdekatan yang mendedahkan kehadiran kenderaan mewah bercermin gelap, pengawal tapak yang dipercayai gangster, manakala lori pula diringi pacuan empat roda yang disyaki tonto,” katanya.

Memorandum berkenaan diserahkan semalam, di Alor Star.

Shaiful seterusnya menambah kegiatan bermodus operandi perlombongan seperti itu semestinya mustahil dilakukan oleh hanya seorang individu sahaja dan tentunya disertai ole sekumpulan penjenayah terancang hingga melibatkan proses penjualan REE yang dicuri.

Namun tegas beliau apabila tindakan hanya dikenakan terhadap seorang individu sahaja, maka pastinya menimbulkan persoalan umum yang besar.

“Justeru demi kepentingan umum dan negeri Kedah, kami menggesa agar pihak SPRM mendedahkan keputusan sebenar hasil siasatan skandal kegiatan perlombongan haram yang telah dilaporkan beroperasi sejak 2 tahun lalu, secara jelas dan terperinci berdasarkan fakta kes berkenaan.

“UMNO Kedah tegas bersatu hati dalam mencari kebenaran terhadap isu ini dan mendesak ketelusan agar maklumat sebenar berhubung kes jenayah in dikongsikan buat pengetahuan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.