Segera Baik Pulih Jambatan Uzur Di Gua Musang – TPM Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan mengambil tindakan segera terhadap aduan jambatan uzur di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke dekat Gua Musang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meluahkan keprihatinan tersebut apabila membaca sebuah artikel berkenaan keadaan jambatan uzur yang berdepan risiko keselamatan termasuk kehilangan nyawa.

“…seperti yang dilaporkan, hampir 500 penduduk orang asli berhampiran Kampung Orang Asli Brooke Lama, POS Brooke yang mengguna-pakai jambatan tersebut untuk pelbagai tujuan termasuklah menghantar anak ke sekolah.

“Setelah dilakukan siasatan, saya dimaklumkan jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan tersebut, tetapi pihak JAKOA telah membina sebuah jalan konkrit di sebelah belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke KOA Liak dan Kuala Rengil.

“Namun begitu, saya telah meminta pihak Kesedar dan JAKOA Negeri Kelantan untuk mengambil tindakan segera dan sekiranya memerlukan proses baik pulih atau penambahbaikan ia akan dilakukan demi keselamatan penduduk di situ,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid sementara itu menambah jalan konkrit tersebut merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal.

Dengan itu beliau berharap proses baik pulih dapat dilakukan segera demi keselamatan dan kemudahan penduduk di kawasan terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.