Marilah Kita Bersama Dayung Bahtera, UMNO Sebuah Perjuangan – Rais

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu sudah pasti memberi makna yang amat besar kepada seluruh ahli parti dalam usaha memacu UMNO terus bergerak sebagai sebuah parti politik yang menaungi orang Melayu dan seluruh rakyat di negara ini.

Tanggungjawab terpikul di atas bahu masing-masing untuk memastikan perjuangan UMNO terus relevan selaras dengan cabaran dan gelora yang bakal dihadapi kelak terutama untuk berdepan dengan segala cabaran yang mendatang.

Begitu jugalah pandangan bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin yang berharap masing-masing dapat menggenggam erat perjuangan parti dan sedia bekerja keras demi sebuah perjuangan.

“Berlabuhnya tirai PAU 2022 meninggalkan pengalaman indah penuh bermakna. Ayuh, kini masa kita pulang ke halaman masing-masing membawa amanat parti. Siap sedia untuk bekerja keras demi memulihkan warisan perjuangan nenek moyang kita bersama. Sematkanlah dalam jiwa, UMNO sebuah perjuangan,” katanya Exco Pemuda UMNO Malaysia itu lagi kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, pelbagai saranan serta pelbagai ingatan daripada pimpinan parti perlu dihayati sebaiknya dalam mendayung bahtera perjuangan agar usaha pemulihan parti pasca pilihan raya umum lalu terus berjalan sebaiknya.

“Ingat bagaimana penegasan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapannya… tidak ada lagi yang menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan tatkala parti dalam proses pemulihan.

“Jangan sesekali menjadi pengkhianat hanya kerana kepentingan peribadi. Hilanglah maruah diri sekiranya sesiapa berhasrat untuk mengatur langkah dengan membelakangkan parti sendiri, demi survival politik dan kerakusan kuasa yang tiada noktahnya,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.