Ahmad Zahid Komited Martabatkan Institusi Huffaz, Perkasa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi komitmen yang tinggi bagi memartabatkan Institusi Huffaz.

Perkara demikian dinyatakan di dalam pertemuannya bersama Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) diketuai Presidennya Ustaz Mohd Zahid Mahmood al-Hafiz di Yayasan al-Falah, Kajang pada Selasa.

“Perbincangan santai berkisar topik memartabatkan Institusi Huffaz dalam memacu pembangunan dan masa depan negara yang lebih maju selari dengan usaha memperkasakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi, turut dibincangkan cadangan PINTA untuk menganjurkan program Himpunan 23K Huffaz Malaysia yang akan diadakan sekitar bulan Mac nanti.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang diperkenalkan sejak tahun 2016 menggariskan lima teras utama iaitu memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan, mewujudkan model institusi tahfiz dan mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana.

Selain itu, memperkasakan tadbir urus institusi tahfiz dan mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan bagi institusi tahfiz. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.