Ziarah 9 Ahli UMNO Kemaman Cedera Kemalangan Ketika Pulang Daripada PAU22

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Sembilan perwakilan dan pemerhati Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman cedera dilapor selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Timur, pada Sabtu.

Sehubungan itu, hari ini, bagi pihak Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Politik beliau iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin telah berkunjung ke Kemaman.

Beliau telah menziarahi perwakilan UMNO yang telah diuji dengan kemalangan terbabit.

“Sebelum menziarahi salah seorang mangsa yang tercedera dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan saya terlebih dahulu ke rumah mangsa yang kini berada di rumah di Kemaman setelah dibenarkan keluar dari hospital.

“Alhamdullilah tiada kecederaan serius namun mangsa masih lagi trauma. Walaupun masih belum sembuh sepenuhnya, saya mendengar cerita daripada mangsa bagaimana kemalangan itu boleh berlaku.

“Semoga semua yang cedera akan kembali sembuh seperti sedia kala dan kembali menjalani rutin seperti biasa dan terus berkhidmat bersama parti,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bagi membantu keluarga yang terkesan dan diharap dapat meringankan beban mereka.

Turut bersama dan kunjungan ini ialah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said. – UMNO Online