UMNO Sabah Sokong Tubuh Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang melibatkan seluruh parti politik di negeri itu.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yakin dan percaya melalui Kerajaan Perpaduan ini ia mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik bagi negeri tersebut.

“Saya juga berharap agar YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada YAB Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan awal pagi tadi.

Berhubung dengan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas pada hari ini, jelas Bung lagi, sebahagian besar Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“Walaubagaimanapun, saya bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-enam Belas pada 10hb Januari 2023,” kata ADUN Lamag itu lagi.

Jumaat lepas, Bung mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah diingkari. – UMNO ONLINE