SUA Lancar Konvoi PR1MA, Sumbangan Bantuan Banjir Ke Kelantan, Terengganu Bernilai RM900,000

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Setiausaha Agung UMNO yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini melakukan Pelancaran Konvoi Sumbangan Bantuan Banjir Ke Kelantan dan Terengganu yang bernilai RM900,000.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan oleh Perbadanan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) itu suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang baik bagi membantu mangsa yang masih terkesan dengan musibah banjir ini.

“Konvoi ini akan menghantar keperluan yang merupakan 1,000 starter kit food, kit banjir, food pack, tilam, kain pelikat, telekung, beg sekolah, dan juga kelengkapan untuk membersih iaitu sebanyak 800 water jet, mop, penolak air, paip getah, baldi, cangkul, penyapu plastik, sarung tangan.

“Saya kira ini satu usaha amat baik dan harap ketika musibah di tempat lain kita sebagai agensi yang ada keupayaan dapat kiranya membantu dalam bentuk CSR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, yang turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Jelas beliau lagi, meskipun banjir di kedua-dua negeri berkenaan sudah surut, kesan yang dirasai penduduk terutama dari aspek pembersihan rumah dan kerosakan barangan asas masih ada.

Sementara itu Ahmad pada masa turut sama menyeru penglibatan lebih banyak agensi, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memberi bantuan kepada rakyat ditimpa musibah tidak kira di mana mereka berada.

“Saya pada hujung Disember pergi ke Kelantan dan Terengganu iaitu Tumpat, Pasir Puteh, Besut dan Kemaman bersama satu syarikat Menteri Kewangan yang telah diperbadankan iaitu Malaysia Rail Link yang melaksanakan projek ECRL.

“Hari ini tiba giliran PRIMA walaupun banjir telah surut tapi kesan banjir itu masih ada terutama dalam urusan pembersihan dan bantuan-bantuan yang akan dihantar.

“Saya menyeru GLC, agensi agensi, meneruskan usaha bantu rakyat tak kira di mana mereka berada,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.