Kemelut Politik Sabah: Bincang Dari Hati Ke Hati, Cari Penyelesaian Menang-Menang – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 10 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan dari hati ke hati dan ikhtiar penyelesaian menang-menang akan dilakukan bagi mengatasi kemelut politik di Sabah.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diadakan malam ini bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

“Insya-Allah, selepas pertemuan itu nanti saya yakin Datuk Seri Anwar akan bertemu saudara saudari (petugas media) bagi menyatakan apakah keputusan dalam pertemuan yang akan dibuat nanti.

“Tentunya kita akan mencari jalan terhadap penyelesaian kemelut ini dan kita akan berikhtiar supaya situasi menang-menang akan dicapai dalam rundingan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin BN di Bangunan UMNO di sini malam tadi.

Anwar tiba di Kota Kinabalu pada 9.41 malam dan kini berada di sebuah hotel bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin negeri.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam yang dilantik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.