UMNO Sabah Punya Maruah Dan Prinsip, Bersedia Jadi Pembangkang – Aziz

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah kesal dengan polemik politik yang berlaku di negeri itu pada ketika ini dan bersedia untuk menjadi pembangkang.

Ketuanya, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata ini kerana telah banyak versi yang cuba dimainkan bahawa UMNO Sabah sebagai gila kuasa dan jawatan.

“UMNO Sabah cuba berpegang teguh kepada setiap prinsip persefahaman di antara tiga parti utama semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 yang lalu, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah gabungan politik yang dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum didaftarkan sebagai parti politik berdaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan).

“…yang mana setiap komponen dalam gabungan ini berkongsi kuasa dan harus saling menghormati dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat.

“…untuk itu UMNO Sabah akan menjadi pembangkang yang berhemah dalam melaksanakan semak dan imbang demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya perkongsian kuasa sebelum ini tercemar apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membelakangi Perjanjian Kerjasama BN dan GRS dengan menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum bertindak melakukan u-turn.

Menurutnya, kemuncaknya apabila Hajiji memecat Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah tanpa berbincang dengan pemimpin utama BN negeri.

“Lebih mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin UMNO Sabah cuba dilaga-lagakan dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada salah satu pemimpin utama negeri untuk menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Ke mana sudah hilangnya semangat perkongsian kuasa dan hormat-menghormati itu? UMNO Sabah juga mempunyai maruah politik. Kalau sudah pemimpin yang diangkat menjadi ketua bertindak sesuka hati, sudah pasti UMNO Sabah akan bertindak balas.

Every action has a reaction. Wajarlah untuk UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan pada hari ini. Nasihat kami buat Ketua Menteri, berlaku adillah dan jujur kepada rakan kongsi anda selepas ini. Pimpinlah negeri ini dengan baik dan teratur,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.