Perhimpunan Agung UMNO Medan Kembalikan Tekad Perjuangan Parti – Norsabrina

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Perhimpunan Agung UMNO 2022 bakal berlangsung selama empat hari pada minggu hadapan bermula 11 Januari.

Dalam hal ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor mengajak semua ahli-ahli UMNO untuk sama-sama menjadikan menjadikan persidangan ini sebagai medan bagi mengembalikan tekad dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Katanya, sepanjang tahun 2022, UMNO telah melalui pelbagai cabaran, berdepan laluan getir dan mendepani krisis politik termasuklah mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Gelombang PRU-15 yg lalu sangat luar biasa kejadiannya. Tidak mudah untuk kita menghadapinya tetapi kita dalam UMNO tidak pernah bersifat alah malah makin kuat mengharungi rintangan. Sebagai orang UMNO mesti segera kembali sepakat demi keutuhan dalam memperteguh parti,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, kelangsungan perjuangan UMNO adalah legasi yang mesti diteruskan apatah lagi asas tujuan penubuhan parti tersebut adalah relevan sepanjang masa untuk diperjuangkan.

“UMNO adalah platform perjuangan sepanjang zaman, dulu, kini dan selamanya, malah bukti telah nyata bahawa UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) telah menterjemah keupayaan warga Malaysia dalam rumpun majmuk yang makmur dan harmoni.

“Penghayatan kepada kewujudan UMNO iaitu pertubuhan kebangsaan yang sentiasa konsisten mempertahan kedaulatan negara perlu terus diaplikasi.

“Ini perlu didasari kepada pemahaman terhadap asas dan tujuan penubuhannya lantas membawa kepada keupayaan nasionalisme hinggalah pembangunan negara dan kecemerlangan bangsa yang kini perlu kembali diperteguh.”

Justeru, tegas Norsabrina lagi, Perhimpunan Agung UMNO inilah masa terbaik untuk anggota parti dari semua peringkat menanam tekad mengangkat kembali perjuangan luhur atas nama agama Islam, bangsa dan tanah air tercinta.

“Bersamalah kita teruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan perjuangan UMNO bersemarak dari dahulu, kini dan kepada generasi pewaris seterusnya sebagaimana cogan katanya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.