Nilai Dengan Prestasi, Bukan Berdasarkan Sentimen Dan Persepsi – Wan Rosdy

KUANTAN, 9 Jan – Langkah UMNO membentuk kerajaan negeri Pahang bersama Pakatan Harapan (PH) telah membuka satu lembaran baharu yang manfaat demi rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelasnya, ianya telah mengukuhkan pendirian UMNO selaku parti yang sederhana dan bersifat terbuka.

“Ianya menunjukkan yang UMNO Pahang ini adalah parti yang sentiasa berlapang dada untuk menjalinkan hubungan selagi mana kemaslahatan dan manfaat kepada rakyat menjadi agenda utama.

“UMNO/ Barisan Nasional (BN) meraikan kemajmukan dan kepelbagaian dan percaya kerjasama dengan PH menggambarkan kedudukan dan komposisi masyarakat yang pelbagai kaum dan etnik.

“Pembentukan kerajaan bersama-sama dengan PH adalah selari dengan perkembangan di peringkat Pusat. Ini sudah pasti memberi banyak kelebihan kepada Pahang dalam menjayakan agenda pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat isu-isu semasa  empat peringkat bagi negeri Pahang di sini pada petang Ahad.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan BPUN Pahang, Datuk Seri Hassan Arifin, Ketua-ketua UMNO Bahagian dan jentera UMNO empat peringkat negeri Pahang.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang yakin parti ini sentiasa meneroka jalan yang baharu agar terus kekal relevan dan dinamik.

“Saya sangat percaya bahawa untuk kekal relevan, UMNO mesti bersedia untuk meneroka jalan baharu, mencari rakan baharu dan bekerjasama dengan cara yang baharu. Bahawa kerjasama UMNO/BN dengan PH tidak akan dilakukan dengan cara yang memaksa kita berkompromi dengan prinsip dan pegangan kita selama ini.

“Saya mohon kerajaan negeri Pahang ini dinilai berdasarkan prestasi kerja yang telah dan akan kami tonjolkan. Bukannya sentimen persepsi yang memecah-belahkan kita,” ujarnya.

Dalam masa yang sama kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai
menjelaskan kekuatan sesebuah parti perjuangan seperti UMNO ditunjangi oleh ahli yang ramai dan berkualiti.

“Kita harus menggerakkan kempen secara agresif menambah ahli, jangan kita hanya sekadar berbangga memiliki ahli yang ramai di atas kertas tetapi sebaliknya perlu anjakan paradigma dan pendekatan baharu bagi menarik minat golongan muda.

“Parti kita dilihat terkebelakang dalam mengemudi program latihan dan merekrut generasi muda yang menjadi pelapis kepada kepimpinan parti justeru keperluan untuk kita melakukan program yang lebih berstruktur.

“Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha mengukuhkan parti dengan menginsafi dan terus bermuhasabah. Tingkatkan iman dan ketaqwaan kerana dari situlah bermulanya ‘survival’ perjuangan kita. Jadikan perjuangan ini suatu jihad yang amat bermakna bagi setiap diri kita,” jelas beliau. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.