Kes Curi Nadir Bumi Di Kedah: Wujud Unsur Meragukan, SPRM Perlu Dedahkan Perkembangan Siasatan

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Penerangan UMNO Negeri Kedah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan membabitkan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ini kerana sehingga kini tiada perkembangan terbaharu dilaporkan berkaitan siasatan kes tersebut.

“Pada Oktober tahun lepas media melaporkan SPRM telah melakukan siasatan terhadap kes kecurian REE di negeri Kedah.

“Selepas tiga bulan siasatan dimulakan, tiada sebarang perkembangan dilaporkan walaupun wujud desakan dari pelbagai pihak agar kes itu disiasat dengan menyeluruh kerana wujud unsur yang meragukan.

“Saya meminta SPRM tampil memperjelaskan hasil siasatan seperti mana mereka pantas menjalankan siasatan terhadap dakwaan projek RM92.5 bilion semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok dalam pada itu berkata pihak berkuasa serta agensi kerajaan negeri juga harus mendedahkan hasil laporan siasatan terutamanya tentang jumlah nilai sebenar kerugian yang dialami setelah dua tahun kecurian berlaku.

Katanya ini kerana hanya seorang lelaki sahaja dikenakan denda kompaun sejumlah RM130,000 oleh Jabatan Perhutanan di atas kesalahan melakukan aktiviti dilarang dalam hutan simpan serta memasuki kawasan hutan tanpa permit sah sementara Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) mengeluarkan kompaun maksimum RM500,000 mengikut Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828).

“Walhal tidak mungkin jenayah yang kemungkinan beroperasi dengan kapasiti sendikit ini dilakukan secara seorang diri.

“Kenapa tiada maklumat langsung diperoleh daripada lelaki ini berkaitan kumpulan jenayah ini? Adakah benar ianya tiada kaitan dengan MBI (Perbadanan Menteri Besar) dan kerajaan negeri? Adakah Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Mohd Noor hanya berbangga dapat mengutip kompaun daripada lelaki warganegara China berkenaan tetapi kemudian mendiamkan diri untuk melihat isu yang lebih besar dalam kes kecurian nadir bumi berkenaan.

“Saya ingin menggesa supaya bukan hanya siasatan kesalahan penceroboh yang dilakukan, sebaliknya siasatan jenayah menyeluruh dengan segera harus dilakukan oleh pelbagai pihak berhubung kecurian REE di negeri ini, yang didakwa dilakukan sindiket sejak dua tahun lalu,” ujar beliau.

Terdahulu, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.