Rauf Dan Sulaiman Duduk Semeja, Perjelas Isu Jawatan Ketua Menteri

MELAKA, 8 Jan – Dua karakter utama politik Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tampil duduk semeja bagi menjelaskan khabar angin kononnya jawatan ketua menteri bakal bertukar tangan bulan ini.

Berdasarkan beberapa klip video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Penerangan Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah , Ab Rauf berkata apa yang dibangkitkan berkaitan isu tersebut tidak lebih satu fitnah oleh individu berkepentingan peribadi.

“Tolong hentikanlah, kerana kami ini sebenarnya memerhatikan tingkah laku dan karakter mereka yang memainkan isu dan menghangatkan suasana kerajaan negeri, yang mana persahabatan kami adalah persahabatan yang sangat baik,” katanya.

Tambah beliau sejak dulu lagi mereka berdua sudah berjanji apa sekali pun terjadi, tidak akan berbohong antara satu sama lain dan ‘angin yang bertiup’ sekarang merupakan fitnah yang amat memalukan negeri yang telah memenangi dua pertiga kepercayaan rakyat.

“Adalah malang apabila muncul tokoh-tokoh yang berkepentingan menabur fitnah dan cuba melagakan hubungan kami berdua termasuklah Datuk Kamarulzaman Jantan (Jawatankuasa UMNO Masjid Tanah). Saya minta tolong hentikan kerana hanya ajal dan maut boleh pisahkan kami bertiga ini,” katanya.

Sementara Sulaiman pula menegaskan, fokus utama kini ialah untuk terus memajukan Melaka dan bukannya melayani khabar angin yang tidak berasas serta tidak berkesudahan.

Beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang terhadap isu yang ditimbulkan oleh golongan yang sengaja mengganggu gugat keamanan, yang sedang dinikmati ketika ini.

“Kami bertiga berkawan sudah lama dan jangan digembar gemburkan isu ini lagi dan sebaliknya fokus kepada tugas yang diamanahkan, kerana kesannya nanti adalah berbalik kepada rakyat negeri ini juga,” katanya menerusi klip video yang sama.

Terdahulu media melaporkan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, menafikan dakwaan kononya jawatan ketua menteri yang disandangnya akan bertukar tangan kepada Ab Rauf, sekali gus mencetuskan pelbagai khabar angin berkaitan isu tersebut. – BERNAMA