PAU Medan Kekalkan Kekuatan Asas UMNO – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 ini merupakan platform terbaik dalam mengekalkan kekuatan asas parti demi berterusan membawa perjuangan kepada rakyat dan negera.

Katanya, ini kerana sekiranya tanpa kekuatan asas tersebut segala usaha termasuk strategi yang dirangka kepada rakyat sulit untuk dilaksana apatah lagi untuk direalisasikan.

“Medan untuk mengekalkan kekuatan asas UMNO sebagai sebuah parti politik. Tanpa kekuatan asas, apa sahaja tindakan pembaharuan atau perancangan untuk diterima rakyat semula sukar untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu dalam pada itu berkata PAU 2022 juga sebagai ruang terbaik dalam bermuhasabah dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Platform dan ruang untuk parti dan sayap di semua peringkat untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab akan keputusan PRU15.

“Tidak tuding menuding salah antara satu sama lain. Kembali kepada parti dan bukan pada individu,” ujar beliau.

Terdahulu, PAU 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Disember lalu ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi sidang media berkenaan PAU memaklumkan penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Katanya ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.