PAU 2022: Skuad Sayang Ingatkan Perwakilan Istiqamah, Bersatu Padu Teruskan Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diingatkan supaya sentiasa beristiqamah dan bersatu padu untuk meneruskan perjuangan parti keramat UMNO.

Timbalan Komanden Kebajikan Skuad Sayang Malaysia, Reny Rahayu Mohd Ishak berkata, UMNO bukanlah sebuah parti yang lemah tetapi memerlukan kekuatan daripada akar umbi untuk terus berjuang.

“Saya menyeru para perwakilan supaya sentiasa istiqamah dan meneruskan perjuangan yang dibawa oleh parti.

“Sebenarnya, kita (UMNO) bukannya lemah tetapi memerlukan kekuatan dan sokongan daripada semua ahli UMNO untuk terus berjuang serta sentiasa bersama dalam membuat keputusan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Skuad Sayang telah bersedia untuk menjalankan beberapa program menjelang PAU termasuklah perbarisan, gerai jualan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Skuad Sayang telah bersedia untuk mengadakan beberapa program menjelang PAU ini. Antaranya, kita ada Majlis IT Skuad Sayang yang akan dihadiri dan dirasmikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita juga ada program-program lain seperti gerai jualan Skuad Sayang, pemeriksaan kesihatan, perbarisan yang akan disertai oleh 50 orang peserta dan pelbagai lagi program menjelang PAU ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Komanden Skuad Sayang Bahagian Keselamatan Seputeh, Massita Ayu Man menzahirkan rasa syukur apabila diberikan peluang untuk menyertai perbarisan dan berharap agar para perwakilan berganding bahu dalam usaha memulihkan UMNO.

“Alhamdulilah saya rasa teruja apabila menyertai perbarisan PAU Skuad Sayang kerana bukan semua ahli mendapat peluang sedemikian. Jadi, apabila dipanggil memang saya rasa teruja.

“Saya berharap agar para perwakilan dapat menjalankan tanggungjawab mereka. Saya harap tiada isu-isu yang berbangkit kerana dalam keadaan masa kini, kita perlu bersama-sama berganding bahu untuk memulihkan UMNO di mata masyarakat,” katanya.

Manakala Komanden Skuad Sayang Pandan, Sofiah Hassan berasa terharu apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) ditakdirkan bersama dalam Kerajaan Perpaduan meskipun keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak memihak kepada mereka.

“Saya bersyukur apabila telah dipanggil untuk bersama-sama dalam perbarisan Skuad Sayang ini. Gembira sangat meskipun terharu kerana gagal dalam PRU yang lalu. Tetapi alhamdulilah Allah S.W.T Maha Mengetahui, kita masih bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap semua perwakilan bersatu hati dalam membentuk semula UMNO ke arah kemajuan. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online