PAU 2022 Catat Sejarah Tersendiri, Taklimat Presiden Kembali – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjuran kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya.

Katanya ini kerana Taklimat Presiden diadakan kembali pada PAU 2022 menambahkan lagi kemeriahan dan semangat dalam kalangan perwakilan yang hadir.


“Ada kelainan dalam PAU kali ini pertama kerana kita ada Taklimat Presiden tertutup dihadiri oleh lebih dua ribu perwakilan dan pimpinan yang akan diadakan pada Rabu 11 Jan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

“Itu kelainan pertama kerana sudah lama tidak diadakan Taklimat Presiden sebelum ini, jadi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) meminta saya menguruskannya dan segala jemputan telah kita buat selepas selesai mesyuarat MKT UMNO baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau raptai PAU 2022 yang diadakan di Plaza Merdeka, Sabtu pagi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dalam pada itu berkata, kehadiran pemerhati dalam kalangan ketua-ketua penerangan UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri buat julung kali juga memberikan kelainan pada persidangan kali ini.


“Kelainan kedua ialah kehadiran pemerhati yang merupakan ketua-ketua penerangan bahagian untuk perhimpunan agung UMNO pada hari Jumaat dan Sabtu manakala ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada perasmian Rabu dan Khamis ketika persidangan Perhimpunan Agung sayap-sayap.

“Mereka jadi pemerhati dahulu sebelum menjadi perwakilan secara automatik bagi tahun-tahun selepas ini,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perhimpunan Agung Khas yang bakal diadakan juga memberikan signifikannya tersendiri pada penganjuran kali ini apabila bakal meminda dua usul Perlembagaan UMNO.

“Satu lagi atur cara penting dalam perhimpunan kali ini ialah Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda Perlembagaan yang pertama untuk memasukkan daripada ketua-ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai perwakilan secara automatik.

“…serta untuk menyelaraskan dengan Akta Lompat Parti apabila seseorang itu melompat ke parti lain maka tergugur keahliannya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.