Kekalkan Momentum, Semangat Hadapi PRN Selangor – Azhari

SHAH ALAM, 8 Jan – Setiap kali pilihan raya khususnya jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak banyak berubah dan terikat dengan perkara-perkara yang biasa dilakukan secara tradisi, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam,Datuk Azhari Shaari.

Ini kerana katanya, jentera pilihan raya di semua peringkat telah bersedia dan momentum semangat terus dikekalkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Saya lihat selepas pilihan raya lalu ianya satu kesedaran dan jentera parti masih semangat kesiapsiagaan untuk menghadapi PRN Selangor dan yakin akan dapat sekurang-kurangnya satu kerusi (dalam Parlimen Shah Alam) pada pilihan raya akan datang.

“Ini adalah titik tolak permulaannya khususnya di UMNO Bahagian Shah Alam ini dan secara keseluruhannya dapat dibina semula kekuatan UMNO seluruh Selangor melalui PRN yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas Majlis Apresiasi Jentera dan Jelajah Bina Semula UMNO bersama akar umbi UMNO Bahagian Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu Azhari mengharapkan perwakilan yang akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu hadapan dapat mendengar dan menghayati pesanan yang akan disampaikan oleh Presiden UMNO.

“Saya harap perwakilan dapat mendengar mesej yang akan disampaikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pucuk kepimpinan tertinggi UMNO.

“Ahli UMNO seluruh negara dapat menunjukkan satu persepsi yang positif di kalangan rakyat kerana PAU ini sering menjadi perhatian masyarakat umum dan tunjukkan solidariti terhadap kepimpinan parti walaupun rakyat sudah memilih dan tahu apa keputusannya.

“Kita harus ‘create’ mesej yang ‘clear’ pada rakyat bahawa UMNO bukannya satu parti yang kelam-kabut dan budaya tikam-menikam sesama ahli dan bahawa PAU ini semua ahli harus menunjukkan satu titik tolaknya dan satu ‘reform’ parti ini dengan lebih perpaduan,” jelas beliau.

Tambah Azhari, walaupun UMNO/BN tewas pada PRU lalu namun akar umbi makin bersemangat untuk hadir pada PAU.

“Kali ini ahli UMNO lebih bersemangat apabila menjadi kerajaan perpaduan dan masih berada di tahap yang memuaskan dan utuh lagi.

“Walaupun mempunyai 30 kerusi Parlimen namun akar umbi UMNO tetap satu hati, satu suara dan satu nada di bawah kepimpinan tertinggi UMNO dan insya-Allah… persepsi ini akan dibawa sehingga pada pilihan raya akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.