Ahmad Harap Jentera Parti Siap Siaga Hadapi PRN Selepas PAU

KUANTAN, 8 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO empat peringkat bagi negeri Pahang yang memahami situasi penubuhan Kerajaan Perpaduan sekarang ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan menjelaskan walaupun Barisan Nasional (BN) berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini namun jentera UMNO harus siap siaga bagi hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila masa.

“Saya amat terharu di atas jemputan dan harap jentera UMNO dapat memahami situasi Kerajaan Perpaduan yang mana BN bersama di dalamnya dan tentunya majlis taklimat isu-isu semasa boleh dibawa ke negeri-negeri lain khasnya enam negeri yang bakal menghadapi PRN.

“Saya harap jentera UMNO bagi enam negeri ini bersiap sedia bagi menghadapi PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah. Tentunya ada negeri yang mengangkat sumpah lewat dan selewat-lewatnya dua bulan paling lewat.

“Saya harap ahli UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini dapat membantu enam negeri yang akan mengadakan PRN masing-masing. Bagi negeri-negeri yang UMNO memenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah tentu jentera parti boleh membantu negeri tersebut,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis taklimat isu-isu semasa peringkat negeri Pahang di sini petang tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar dan Timbalan Datuk Seri Hassan Arifin.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Pontian itu mengharapkan sesi taklimat ini dapat diteruskan terutamanya bagi enam negeri yang bakal menghadapi PRN.

“Saya harap taklimat isu-isu semasa ini dapat diteruskan terutamanya pada enam negeri yang bakal hadapi PRN selepas PAU ini selesai,” katanya lagi.

Seterus Ahmad turut menjelaskan pada PAU kali ini hanya mahu menyelesaikan segala permasalahan parti ini selepas PRU lalu.

“Kami membuat keputusan bahawa PAU kali ini hanya ingin menyelesaikan perkara-perkara yang berkait dengan urusan dalaman UMNO. Oleh itu bukan hanya parti-parti lain tidak jemput malah perwakilan duta-duta asing pun UMNO tidak menjemputnya.

“Pada saat dan ketika ini yang dijemput adalah komponen BN dan Friends of BN serta perwakilan UMNO yang akan hadir pada PAU kali ini,” ujarnya.

PAU akan diadakan pada 11 hingga 14 Januari ini akan dihadiri sebanyak 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, yang merupakan ketua penerangan bahagian dan menjadikan jumlahnya 2,822 orang.

Ianya hanya tertumpu kepada ucapan dasar Presiden yang akan menyentuh hal berkaitan pendidikan, agama, ekonomi politik dan antarabangsa. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.