UMNO Akan Terus Pegang Prinsip Perjuangan – Isham Jalil

SHAH ALAM, 7 Jan – UMNO akan terus berpegang kepada prinsip perjuangannya terhadap orang Melayu termasuklah kepada seluruh rakyat di negara ini dalam usaha memastikan kepentingan mereka terus terbela.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berkata perjuangan berkenaan akan berterusan apatah lagi hari ini kedudukan parti berkenaan bersama-sama di dalam kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau soal-soal yang melibatkan kepentingan Melayu dan kepentingan yang lain bukan sahaja akan terus dipertahan malah akan terus diperjuangkan sebaiknya.

“Masih ingatkah kita ICERD… Statut Rom…ancaman paling besar kepada orang-orang Melayu dahulu dan kepada institusi Raja-Raja Melayu… masih ingat tak.. kita berarak di Dataran Merdeka dahulu menentang soal ini. Malah saya tulis buku pasal penentangan terhadap ICERD ini. Kita jaga orang Melayu… dan seluruh rakyat.

“Malah kalau di dalam kerajaan hari ini buat tidak betul kita akan tegur. Kenyataan Menteri Ekonomi sebelum ini pun saya tegur… Parti kita dalam kerajaan tetapi saya bukan dalam kerajaan saya tegurlah sebab saya mahukan kerajaan ini berterusan dan tidak lagi mahu kerajaan bertukar-tukar.

“Pelabur tidak mahu masuk dan akan menyebabkan rakyat tidak akan ada peluang pekerjaan. Jadi selagi saya boleh tegur saya akan tegur. Semalam saya tegur pasal OPR. Sebab itu mereka berhati-hati kerana UMNO parti akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perjumpaan dan Penerangan Isu Semasa Bersama Penerangan UMNO Empat Peringkat negeri Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau seterusnya berharap permasalahan di dalam parti tidak perlu dibawa keluar sebaliknya sama-sama memegang kerahsiaan berkenaan.

“Tuan-tuan tahu permasalahan Dap…tuan-tuan tahu permasalahan PKR…tidak tahu…tetapi kalau kita tanya orang tepi jalan masalah dalaman UMNO mesti mereka akan jawab tahu..kenapa…kadang-kadang kita sendiri yang sebarkan. Jadi kita elakkanlah perkara seumpama ini,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.