SUK UMNO Jangka PAU Kali Ini Lebih Meriah Dari Sebelumnya

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada kali ini dijangka lebih hebat daripada tahun sebelumnya meskipun dalam keadaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, persiapan PAU masih berjalan seperti biasa untuk memastikan para perwakilan tetap bersemangat bagi meneruskan perjuangan parti.

“Alhamdulilah, persiapan PAU berjalan seperti biasa. Pagi tadi telah berlangsung raptai di luar dewan iaitu upacara menaikkan bendera parti dan menyanyikan lagu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri serta lagu UMNO.

“Pada raptai kali ini seperti biasa juga melibatkan 50 orang Skuad Sayang dan 50 orang Skuad Sabil serta exco-exco sayap. Turut terlibat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bersama-sama dalam acara di luar dewan seperti tahun-tahun lalu.

“Jadi, persiapan masih berjalan seperti biasa walaupun dalam keadaan selepas PRU ke-15 tetapi kemeriahannya saya rasa lebih hebat daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, terdapat gerai jualan dan pempamer daripada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) sepanjang PAU selama empat hari.

“Untuk makluman, ada gerai-gerai jualan seperti tahun-tahun lalu di aras dua dan terdapat juga ‘booth’ daripada KKDW akan bersama-sama sepanjang PAU kali ini.

“PAU akan berlangsung bermula daripada hari Rabu, 11 Januari sehingga Sabtu, 14 Januari. Kita mulakan dengan perasmian sayap-sayap secara serentak dan keesokan harinya adalah persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri di dewan yang berasingan.

“Jumaat dan Sabtu adalah hari yang ditunggu-tunggu iaitu Perhimpunan Agung UMNO. Saya rasa, kali ini lebih meriah daripada tahun-tahun lalu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sumali turut berharap agar para perwakilan dapat sampai dengan selamat dan perhimpunan berlangsung dalam keadaaan aman.

“Selamat datang kepada semua perwakilan dan semoga dapat sampai ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan selamat.

“Diharapkan agar persidangan kita akan berjalan dengan aman dan harmoni. Insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.

Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.