PAU Medan Untuk Bangkit Semula… Bawa Perjuangan, Semangat Baharu

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada kali ini akan mencerminkan bagaimana parti tersebut bangkit semula dan bergerak ke hadapan daripada apa yang telah berlaku.

Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Hazwani Haslan berkata, PAU yang akan berlangsung pada minggu hadapan sudah semestinya akan membawa perjuangan dan semangat baharu meskipun parti itu telah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“PAU pada kali ini pastinya menjadi satu medan untuk membawa perjuangan dan semangat baharu meskipun kita mengalami kekalahan pada PRU ke-15 lalu. Namun pastinya ia bukan penyebab UMNO itu terkubur.

“Pada PAU kali ini, kita akan pastikan semua perwakilan hadir dengan semangat yang jitu untuk memperkasakan terutamanya perjuangan wanita muda dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu sendiri.

“Maka, pada perhimpunan kali ini Pergerakan Puteri UMNO akan memastikan kehadiran cukup korum dan dengan semangat serta jiwa baharu untuk meneruskan perjalanan perjuangan UMNO ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sudah semestinya para perwakilan ingin mendengar perbahasan mengenai rancangan bergerak ke hadapan bagi memperkasakan UMNO terutamanya daripada Pergerakan Puteri UMNO.

“PAU pada kali ini adalah satu perhimpunan yang akan mencerminkan bagaimana UMNO bangkit semula, bergerak ke hadapan dan moving forward daripada apa yang telah berlaku.

“Jadi, pastinya kita ingin mendengar perbahasan daripada para jurucakap mengenai pelan ataupun rancangan bergerak ke hadapan dalam UMNO itu sendiri terutamanya dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nurul Hazwani turut mengajak para perwakilan untuk sama-sama hadir dan membawa semangat yang jitu bagi memperkasakan UMNO.

“Saya ingin menjemput semua perwakilan terutamanya daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, juga daripada bahagian-bahagian untuk sama-sama hadir dalam membawa semangat memperkasakan UMNO.

“…termasuklah perjuangan wanita muda dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu sendiri selaras dan seterusnya memastikan UMNO masih bersama di hati rakyat terutamanya,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada hari Jumaat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.